Tampilkan postingan dengan label kes. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label kes. Tampilkan semua postingan
Kamis, 20 Februari 2014
Kes saman fitnah Anwar Khairy digantung
sinarharian 24 Disember 2012
PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan memerintahkan perbicaraan kes saman fitnah RM100 juta ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar, yang ditetapkan untuk pendengaran Rabu ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, digantung.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Clement Allan Skinner membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Khairy untuk menggantung prosiding tersebut sementara menunggu rayuan berhubung keengganan Mahkamah Tinggi mengetepikan perintah bertarikh 26 November yang menghalang beliau memfailkan pembelaan dalam saman berkenaan.
Dalam penghakimannya, Hakim Clement berkata mahkamah berpuas hati bahawa terdapat keadaan khusus bagi menggantung perbicaraan itu seperti yang dinyatakan dalam permohonan Khairy.
Beliau berkata jika Mahkamah Tinggi meneruskan perbicaraan itu tanpa menunggu keputusan rayuan Khairy, ia akan menjejas integriti rayuan dan menjadi sia-sia jika pemohon berjaya.
Selain itu, katanya, jika perbicaraan tersebut diteruskan dan keputusan dibuat tanpa memberi peluang kepada Khairy untuk membela diri, prasangka yang dialami pemohon tidak boleh dipampas dengan kos.
Bagaimanapun, pada prosiding hari ini, Mahkamah Rayuan memerintahkan Khairy membayar kos sebanyak RM30,000 kepada Anwar.
Hakim Clement, yang bersidang bersama Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin dan Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim, menetapkan 3 Januari depan sebagai tarikh pengurusan kes untuk rayuan Khairy.
Pada 26 November lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hue Siew Kheng menolak permohonan Khairy untuk mengetepikan perintah beliau yang menghalang Ketua Pemuda Umno itu memfailkan pembelaan dalam saman fitnah tersebut.
Hakim Hue membuat keputusan itu selepas mendapati peguam Khairy gagal mematuhi arahan mahkamah ketika pengurusan kes pada 29 Jun lepas, iaitu semua pihak yang berkenaan memfailkan senarai saksi dan ringkasan kes bagi tujuan perbicaraan.
Pada 7 Mac 2008, Anwar memfailkan saman itu selepas mendakwa Khairy mengeluarkan perkataan berunsur fitnah dan menyebabkan ia disiarkan beberapa laman web termasuk Malaysiakini.com dalam bentuk klip video yang bertajuk Anwar and kin no threat.
Ketua pembangkang itu berkata klip video yang disiarkan Malaysiakini.com mengandungi perkataan berunsur fitnah yang dituturkan Khairy dalam satu ceramah di Lembah Pantai pada atau sekitar 20 Februari 2008.
Khairy, dalam penyataan yang difailkan pada 8 Oktober 2010, berkata beliau bergantung kepada pembelaan justifikasi dan perlindungan bersyarat.
Khairy diwakili peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah manakala Datuk Sulaiman Abdullah mewakili Anwar. - Bernama
Sabtu, 15 Februari 2014
Polis Minta Henti Provokasi Kes Tembak

GEORGETOWN – Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi hari ini menggesa anggota kongsi gelap supaya berhenti daripada mempertikai tindakan polis membanteras kegiatan jenayah berat dan memprovokasi kes tembak terhadap lima penjenayah di sini Isnin lepas.
Beliau berkata polis telah mengenal pasti beberapa identiti anggota kongsi gelap yang bertindak mempamerkan kain rentang yang tertera logo kongsi gelap ketika upacara pengkebumian lima lelaki terbabit semalam.
“Kita memperoleh maklumat melalui risikan yang dilakukan termasuk rakaman video ketika mereka mangadakan perarakan semasa pengkebumian itu.
“Selain itu kita juga menerima beberapa laporan berkaitan perarakan terbabit dan tindakan lanjut akan diambil mengikut Seksyen 42 Akta Pertubuhan 1966,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan operasi Ops Cantas Khas di Lebuh Farquhar di sini hari ini.
Semalam tiga daripada mayat penjenayah berkenaan dibawa berarak dalam upacara besar-besaran dengan paluan gendang dan letupan mercun melalui Jalan Yeap Chor Ee, Jalan Bukit Gambir dan Jalan Tun Dr Awang sebelum dibakar di Krematorium Batu Gantung di sini manakala dua lagi upacara dilakukan di Jalan Siram, Butterworth.
Mengulas mengenai Ops Cantas hari ini, Abdul Rahim berkata operasi itu melibatkan penyertaan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah negeri dan mereka ditempatkan di 12 lokasi di negeri ini.
Katanya polis akan menahan suspek yang disyaki terbabit dalam jenayah berat termasuk individu yang pernah ditahan dibawah Ordinan Darurat dan setiap anggota polis dilengkapi pakaian khas sebagai persediaan menghadapi apa jua bentuk ancaman.
Beliau berkata sejak operasi itu dilaksanakan Sabtu lalu, seramai 16 lelaki telah ditahan melibatkan pelbagai kesalahan berat di seluruh negeri ini dan mereka kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Akta Pencegahan Jenayah. – BERNAMA
Langganan:
Postingan (Atom)