Social Icons

Pages

Senin, 10 Maret 2014

Perak cadang wujud pihak berkuasa pelabuhan sendiri

 July 10, 2013 TMI

Kerajaan negeri Perak menerima maklum balas positif daripada Kerajaan Persekutuan mengenai cadangan mewujudkan Pihak Berkuasa Pelabuhan Negeri, iaitu sebuah badan yang  menjalankan kawal selia, pemantauan dan pengawasan terhadap semua pelabuhan dan jeti di Perak.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata maklumat balas yang diterima itu membabitkan prosedur tertentu serta aspek perundangan berhubung penubuhan badan berkenaan.

"Kita mengharapkan ia dapat pertimbangan sewajarnya oleh kerajaan Pusat. Kita mendapat makluman awal selain perlu kelulusan kerajaan Pusat, perkara itu juga perlu dibawa ke Kabinet dan perlu mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong.

"Jadi, proses kelulusan itu akan mengambil masa," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri memerlukan cadangan yang dikemukakan kepada kerajaan Pusat itu diluluskan memandangkan Perak adalah satu negeri pesisir pantai dengan bilangan pelabuhan kecil serta besar yang semakin meningkat.
"Peranan Perak sebagai satu kawasan maritim amat penting pada masa depan dan kerajaan negeri sedang merancang supaya kawasan itu boleh dibangunkan," katanya.

Pada Jun tahun lalu, Zambry berkata cadangan itu dikemukakan kerana Perak memerlukan jalan penyelesaian untuk pengawasan dan penggalakan kepada pengurusan pelabuhan yang melibatkan kapal-kapal yang ingin berlabuh serta keselamatan navigasi di perairan Perak.

Perak mempunyai satu pelabuhan utama, iaitu Pelabuhan Lumut serta pelabuhan kecil seperti di Kampung Acheh dan Bagan Datoh.
Mengenai pembinaan lebuh raya pantai barat, beliau berkata Perak menunggu keputusan Menteri Kerja Raya untuk menetapkan tarikh untuk projek itu dimulakan.

"Kerajaan negeri berharap ia dapat disegerakan walau pun kita tahu kerajaan Pusat juga mempunyai komitmen mereka. Kita tidak tahu segera itu bila, tetapi kerajaan Pusat juga mahu ia dipercepatkan," katanya.

Pada 27 Jun lalu, Menteri Kerja Raya, Datuk Fadillah Yusof berkata, untuk pelan pelaksanaan ketiga di bawah Rancangan Malaysia Ke-sepuluh (RMK10), jemaah menteri meluluskan pembinaan dua lebuh raya baharu iaitu Lebuhraya Kuala Lumpur Outer Ring Road (KLORR) dan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (Taiping-Banting) dan pembinaan dijangka bermula tahun hadapan. - Bernama, 10 Julai, 2013.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar